Sunday, September 4, 2011

Undang-undang Kehidupan

Sejak kita kecil, kita diajar dengan sebuah set kehidupan yang dikatakan kehidupan yang betul. Kehidupan ini bermakna anda perlu ikut segala yang telah ditetapkan untuk diikuti.

Kita lahir, membesar, pergi ke sekolah, kemudian ke peringkat yg lebih tinggi dan kemudian kita akan bekerja, berkahwin, mempunyai anak, membesarkan anak-anak, bersara dan akhirnya mati.

Kehidupan seperti ini diteruskan pula oleh anak-anak dan cucu-cucu kita.

Adakah ini kehidupan sebenar? Siapa yang menentukan kita perlu mengikuti semua ini?

Jika anda mengikuti semua ini, bermakna anda seorang yang normal. Jika tidak anda adalah gila dan dalam sesetengah keadaan, apabila masyarakat tidak lagi dapat menyangkal kehebatan seseorang untuk tidak mengikuti undang-undang ini, dia akan dilabelkan sebagai insan luar biasa.

Bagi saya secara peribadi, selain daripada apa yang ditentukan oleh Islam, selain dari itu semua yang lain adalah kebebasan.


Jalan atau undang-undang yang ditetapkan oleh masyarakat adalah satu jalan selamat yang mana jika diikuti anda akan selamat sebagai seorang insan yang biasa.

Masalah dengan pemikiran sebegini ialah anda tidak akan jadi seorang insan yang hebat. Anda tidak akan menyumbang apa-apa kepada kehidupan anda sendiri. Sudah tentu anda tidak akan menyumbang juga kepada kehidupan orang lain dan masyarakat.

Untuk menjadi seseorang yang hebat, kita perlu berani untuk memilih jalan yang kononnya tidak selamat. Iaitu jalan yang belum pernah dilalui oleh orang lain. Jalan ini bukanlah jalan yang tidak selamat tetapi lebih tepat adalah jalan yang belum pernah dilalui. Jadi dia dianggap tidak selamat.


Jika kita imbas kembali sewaktu kita kanak-kanak, antara keadaan yang paling kita takut adalah kegelapan. Iaitu satu keadaan yang tidak mempunyai cahaya. Kenapa ?

Kita takut dengan kegelapan kerana kita tidak tahu apa yang ada disekeliling kita. Jadi kesimpulan paling selamat adalah kegelapan ada bahaya. Ada hantu, ada penjenayah, ada binatang berbisa. Sedangkan kebarangkalian semua ini wujud adalah sangat kecil berbanding dengan kebarangkalian semua ini tidak wujud sama sekali.

Kesimpulan yang boleh dibuat dari artikel ini adalah, anda perlu keluar dari kepompong insan biasa untuk meneroka dunia Tuhan yang sangat luas untuk menjadi insan luar biasa.



Melanconglah ke mana-mana tempat di dunia, cuba apa yang belum anda cuba, jumpa orang yang belum pernah anda jumpa, jalani kehidupan dengan sebaik yang mungkin, cabar undang-undang kemanusiaan yang memerangkap kita sepanjang hidup.

Dengan keluar dari kepompong ini, maka buat pertama kali dalam hidup anda, anda akan merasa kebebasan yang sebenar. Kebebasan seperti seekor burung terbang bebas di langit yang luas...

No comments:

Post a Comment